Antibiotik digunakan bagi merawat jangkitan kuman, namun demikian, kadang-kadang pengambilan antibiotik gagal memberi kesan yang diharapkan. Contohnya gandingan antibiotik oksasilin dan omeprazole dalam rawatan ulser peptik berkaitan dengan jangkitan bakteria Helicobacter pylori. Kajian mendapati bahawa sesetengah pesakit yang terus merokok ketika sedang menggunakan antibiotik ini, gagal dirawat sepenuhnya.
Amantadin ialah ubat bagi merawat penyakit Parkinson (sejenis penyakit gangguan pergerakan dan pertuturan yang dihadapi oleh bekas Juara Tinju Dunia Muhamad Ali dan penyanyi pujaan tahun 1960'an, A. Ramlee) dan juga sebagai agen anti-virus. Selepas dimakan, lebih banyak amantidin yang tersebar di dalam tubuh seorang pesakit yang merokok daripada pesakit yang tidak merokok. Jadi, bagi dos yang sama kesan ubat berkenaan mungkin berlainan bagi seorang perokok daripada kesannya terhadap pesakit yang tidak merokok.
Karbamazepin adalah sejenis ubat anti-sawan. Kajian menunjukkan bahawa pesakit yang merokok ketika menggunakan karbamazepin lebih cenderung mengalami keadaan kurang ion natrium (hiponatremia) di dalam darah.
Kuinin digunakan bagi merawat malaria, dan merokok boleh mempercepatkan penyingkiran ubat kuinin dari tubuh.
Ramai pesakit lelah menggunakan teofilin bagi meredakan kesesakan nafas. Perokok didapati lebih cepat menyingkirkan teofilin daripada pesakit yang tidak merokok. Oleh itu kesannya untuk merawat lelah akan berkurangan.
Kesan beberapa ubat anti-ulser yang dimakan pada sebelah malam juga didapati berkurangan bagi perokok berbanding pesakit yang tidak merokok.
Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa sesetengah hormon yang terdapat di dalam pil-pil pencegah hamil lebih mudah diungkai bina di dalam hati perokok. Ini boleh mengurangkan keberkesanan ubat tersebut.
Benzodiazepina adalah sejenis ubat tidur yang kuat. Kesan ubat ini mungkin dikurangkan hasil daripada merokok.
Daripada hasil kajian yang dirumuskan di atas, bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa tabiat merokok ketika pengambilan sesetengah ubat boleh mengubah kesan ubat-ubat tersebut. Pesakit-pesakit yang terus merokok ketika mengambil ubat boleh menanggung berbagai risiko akibat saling tindakan yang tidak diingini. Berhentilah merokok bagi terus memantapkan kesihatan.- ABAM
Diterbitkan Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia, 11800. 04-6570099 Fax 04-6568417